KUANTAN, 25 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan mengurniakan Watikah Pelantikan kepada hakim serta pegawai Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Pahang, hari ini.

Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan yang diadakan di Istana Abdulaziz ini turut dihadiri YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Majlis berkenaan menyaksikan pengurniaan Watikah Pelantikan Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Ketua Pendakwa Syarie, Hakim-Hakim Mahkamah Tinggi Syariah, Hakim-Hakim Mahkamah Rendah Syariah dan Pendaftar-Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Pahang.

Paduka Baginda dalam titah mengingatkan peranan penting Hakim Syarie dalam sistem perundangan syariah di mana ia tidak hanya memastikan keadilan dan keberkesanan pelaksanaan undang-undang Islam dalam kalangan masyarakat muslim, terutamanya di Negeri Pahang, tetapi juga mengukuhkan integriti dan keyakinan terhadap institusi kehakiman syariah.

Paduka Baginda turut menyentuh berkenaan keberkesanan penggunaan kaedah-kaedah hakam bermula 2019 telah menyelesaikan masalah lambakan kes di Mahkamah Syariah.

“Sebagai contoh ialah kes perceraian di Mahkamah Syariah Pahang telah dipercepatkan dengan signifikan. Sebelum ini proses penyelesaian mengambil masa antara satu hingga sembilan bulan, tetapi kini hanya antara satu hingga empat bulan diperlukan.
“Keberkesanan pendekatan ini terbukti dengan sebanyak 828 kes berjaya diselesaikan sejak tahun 2023 hingga 2024. Pemerkasaan dan pelaksanaan kaedah-kaedah dengan sistem ini, setiap perbincangan dan rakaman video direkod secara automatik, membolehkan hakim menumpukan sepenuhnya kepada prosiding tanpa terganggu dengan penulisan,” titah Paduka Baginda.

Selain itu titah Paduka Baginda, penggunaan teknologi seperti AI atau Court Recording Transcription (CRT) yang digunakan di mahkamah di Malaysia untuk merekod dan mentranskrip perbicaraan secara elektronik perlu diperkasa bagi memudahkan perjalanan dan penyelesaian kes-kes Syariah.
“Saya berharap kerajaan negeri akan memberikan peruntukan sewajarnya kepada Mahkamah Syariah bagi melaksanakan sistem ini semasa prosiding, sebagaimana yang telah dilaksanakan di Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah Sarawak.

“Ini merupakan salah satu usaha ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan kehakiman syariah di Pahang. Hakam ini diharapkan mampu memberi impak positif dalam menyelesaikan isu umat Islam di Negeri Pahang,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG
