RAUB, 4 September 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pelepasan Kontinjen Ekspedisi Ke Everest Base Camp di Bukit Fraser di sini hari ini.
Paduka Baginda yang memandu sendiri helikopter tiba pada pukul 2.30 petang dan berangkat masuk ke Fraser’s Hall tempat berlangsungnya acara yang diadakan bersempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Fraser’s Hill.
Acara dimulakan dengan bacaan doa sebelum persembahan ucapan Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB. Fadzli Mohamad Kamal serta tayangan montaj.
KDPB Sultan Pahang kemudian berkenan menyampaikan titah kepada semua peserta ekspedisi agar menjaga nama baik negara khususnya negeri Pahang.
“Ekspedisi ini juga diharap dapat bina karakter, displin, patuh arahan dari pelbagai segi. Saya berharap semua peserta jaga kesihatan dan keselamatan, persediaan mental dan fizikal sangat penting.
“Kerjasama amat penting, contohnya amalan ‘buddy system’ akan dapat jaga sesama kita. Ia juga dapat mengeratkan ukhwah antara kita. Saya doakan semua yang terlibat selamat pergi dan balik,” titah Paduka Baginda.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menyarankan agar sebuah kelab mendaki ditubuhkan (secara rasmi) di negeri ini agar aset-aset semulajadi di Pahang dapat diperkenalkan kepada pelancong luar.
“Selain mendaki, boleh juga kaji gunung-gunung yang ada di Pahang..secara tidak langsung ia akan popularkan gunung-gunung yang ada di negeri ini, jadikan ia sebagai satu tarikan eco-tourism dan sport tourism” titah Paduka Baginda.
Seramai 45 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam (APM), pengamal media serta termasuk lapan orang kakitangan Pejabat KDPB Sultan Pahang diketuai Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Dato’ Ahmad Khirrizal Ab Rahman menyertai ekspedisi yang bermula dari 9 hingga 25 September ini.
Peserta dijadual berlepas dari Kathmandu ke Lapangan Terbang Lukla pada 10 September pada ketinggian 2,804 meter dari aras laut, yang terletak di banjaran Himalaya iaitu di laluan pendakian ke Gunung Everest.
Pendaki dijangka akan tiba di Everest Base Camp di ketinggian 5,365 meter dari aras laut pada 16 September 2024 sekali gus dijadualkan meraikan sambutan Hari Malaysia di sana. – KESULTANAN PAHANG