KUANTAN, 1 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan melantik Orang Besar Berempat Pahang dengan gelaran Yang Dihormat Orang Kaya Indera Shahbandar kepada YB Dato’ Mohamad Nizar bin Dato’ Sri Mohamad Najib pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Istana Abdulaziz, hari ini.
Pelantikan tersebut bagi memenuhi kekosongan jawatan Orang Besar Berempat Negeri Pahang Darul Makmur, sebuah institusi yang mempunyai kedudukan penting dalam sejarah pemerintahan Kesultanan Pahang serta menjadi sebahagian daripada warisan adat dan kedaulatan negeri sejak zaman berzaman.
Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda bertitah mengingatkan institusi Orang Besar Negeri Pahang merupakan warisan pemerintahan Kesultanan Melayu Pahang yang menjadi lambang kedaulatan, kesetiaan dan kesinambungan adat istiadat negeri.
Paduka Baginda bertitah pada suatu ketika dahulu, Orang Besar Negeri memainkan peranan membantu Sultan mentadbir jajahan, menjaga keamanan, menyelesaikan perselisihan serta mempertahankan kedaulatan negeri.
Walaupun sistem pentadbiran hari ini telah berubah, Paduka Baginda bertitah bahawa institusi tersebut terus memainkan peranan penting sebagai penjunjung adat istiadat Kesultanan Pahang, pemelihara warisan negeri serta penghubung yang memperkukuh hubungan antara Institusi Diraja dengan rakyat.
Paduka Baginda bertitah menaruh keyakinan bahawa Dato’ Mohamad Nizar akan memikul amanah tersebut dengan penuh integriti, menjunjung tinggi adat istiadat Kesultanan Pahang serta meneruskan legasi kepimpinan Orang Besar Berempat dalam mempertahankan maruah negeri dan berbakti kepada rakyat. -KESULTANAN PAHANG






