TEMERLOH, 7 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan memasyurkan Masjid Baharu Kampung Teluk Ira dengan nama Masjid Saidina Umar Al-Khattab.

Keberangkatan Paduka Baginda ke masjid berkenaan diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al- Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama isteri YM Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.

Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada 100 orang asnaf di kawasan sekitar.

Sementara itu, Paduka Baginda bertitah menyeru agar penduduk setempat mengimarah dan memanfaat masjid ini dengan sebaik mungkin sekaligus mengekalkan keharmonian dan saling memperkukuh ikatan persaudaraan.

“Kampung Teluk Ira yang kini menjadi salah satu destinasi dalam kalendar pelancongan Daerah Temerloh, bukan sekadar sebuah perkampungan, tetapi sebuah cerminan keindahan akhlak Islam yang sejati.

“Di sinilah letaknya nilai-nilai murni, di sinilah terpancarnya cahaya budi pekerti yang luhur. Jadilah kita umat yang bersatu hati, umat yang saling menyayangi, umat yang memayungi antara satu sama lain dengan kasih dan ihsan.

“Sesungguhnya, keberkatan sesuatu negeri itu bukan diukur pada kekayaan harta, bukan pada tingginya bangunan yang mencakar langit, tetapi pada teguhnya keimanan dan ketakwaan penduduknya,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda menegaskan bahawa jika semua hati bersatu dalam iman dan sentiasa bergandingan dalam perkara kebaikan, maka langit akan menurunkan rahmatNya dan bumi akan melimpahkan berkatNya.

“Sebagai Ketua Agama Islam di negeri ini, saya amat berharap agar masjid ini tidak hanya menjadi sekadar rumah ibadah tetapi turut berperanan sebagai pusat penyatuan ummah, dan benteng kesejahteraan sosial.

“Masjid yang diimarahkan dengan roh Islam, akan menjadi sumber kekuatan kepada masyarakat, tempat yang menaburkan kasih sayang dan mengangkat martabat insan dalam naungan rahmat Ilahi,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu Paduka Baginda turut menyambut baik cadangan agar masjid ini dijadikan pusat perlindungan bagi mereka yang memerlukan, termasuk golongan yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

“Ini adalah satu inisiatif yang mencerminkan keindahan Islam, sebagai agama yang mendukung kasih sayang dan keadilan,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG.