LIPIS, 6 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli bersiar-siar meronda sekitar Bandar Kuala Lipis, di sini.

Paduka Baginda kemudiannya berkenan singgah menunaikan solat sunat di Masjid Lama Lipis sebelum ke kedai Sidang Kopi untuk menikmati santapan petang.

Paduka Baginda meluangkan masa berjalan kaki kira-kira tiga kilometer di sekitar Bandar Lipis untuk menikmati keistimewaan dan keunikan bandar Kuala Lipis yang pernah menjadi menjadi ibu negeri dan pusat pentadbiran negeri Pahang.

Penduduk setempat serta mereka yang berada di sekitar kawasan sama turut teruja dapat bertemu Paduka Baginda yang terkenal dengan sifat berjiwa rakyat, malah turut tidak melepaskan peluang bergambar kenangan dengan raja kesayangan semua. -KESULTANAN PAHANG