BENTONG, 20 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli menyantuni mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SMK Karak Setia, di sini.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 10.45 pagi disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri dan daerah.

Seramai 150 orang mangsa terdiri daripada 49 buah keluarga dari Kampung Karak Setia dan Perumahan Prima Karak ditempatkan di PPS berkenaan sejak semalam.
Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada semua Ketua Isi Rumah (KIR) yang terlibat dan melawat keadaan Masjid Kampung Karak Setia dan kawasan sekitar kampung yang terlibat dalam bencana berkenaan.
Paduka Baginda dalam titah berharap agar setiap mangsa yang terlibat bersabar dengan ujian dari Allah SWT serta menerimanya dengan hati reda dan ikhlas.

“Saya yakin pihak berkuasa telah melaksanakan tugas dengan baik dan sentiasa ada untuk meringankan beban yang ditanggung mangsa banjir.
“Kita di Pahang harus bersyukur kerana ada jentera yang sentiasa bersedia dengan bantuan kepada mangsa banjir, jadi kita terus berdoa agar masalah ini akan dapat dikurangkan dan diatasi dengan baik,” titah Paduka Baginda.

Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah, dari sudut pandangan lain, keadaan ini adalah rahmat untuk mengenalpasti kekurangan yang ada di kawasan ini (terlibat banjir), contohnya projek tebatan banjir (ban) bernilai RM300 juta.

“Saya ingat itu (ban) mungkin dapat mengurangkan kesan daripada banjir besar namun saya masih lagi dengan pendapat saya iaitu Sungai Bentong atau sungai mana sekali pun perlu didalami, lebih-lebih lagi apabila kita buat ban atau apa-apa tebatan sekali pun. Ini akan mengurangkan tekanan kepada projek-projek (tebatan) baru ini.

“Inisiatif sendiri kena buat juga…usaha mendalamkan sungai, membesarkan sungai, meninggikan tebing-tebing melalui ban ini. Dalam isu banjir di sini, kedudukan kampung terletak di ‘corner’ Sungai Bentong. Saya harap JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) dapat kaji untuk selesaikan masalah banjir di sini, mungkin meluruskan laluan air sungai,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG