PEKAN 18 Julai 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan menerima 2,000 mushaf al-Quran dari Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Majlis penyerahan tersebut telah diadakan hari ini di mana Pengelola Bijaya Diraja Utama, YH Mejar Jeneral Dato’ Mohamed Zahari Dato’ Hj Yahya TUDM bagi pihak KDPB Sultan Pahang menerima mushaf al-Quran yang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Tuan Nik Yusaimi Yussof.
Mushaf al-Quran ini akan diagihkan ke seluruh negeri Pahang melalui jabatan dan organisasi yang akan ditetapkan setelah mendapat perkenan KDPB Sultan Pahang.
Mushaf al-Quran terbitan KDN ini diterbitkan ketika KDPB Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah memikul amanah sebagai Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan di atas perkenan tuanku juga, mushaf al-Quran ini turut disembahkan kepada Raja-Raja Melayu selaku ketua agama negeri masing-masing.
Mushaf al-Quran edisi terkini (tahun 2022) dengan beberapa pembaharuan selaras dengan perkembangan semasa seperti tanda-tanda hukum berwarna yang berfungsi sebagai panduan bacaan bertajwid yang lancar dan betul.
Edisi ini mengandungi keenam-enam hukum tajwid berwarna sebagaimana yang ditetapkan dalam garis panduan bagi pewarnaan tajwid dan diberi nilai tambah berupa warna untuk waqaf (berhenti dan teruskan bacaan) dan ibtida’ (berhenti dan ulang bacaan). -KESULTANAN PAHANG