KUALA LUMPUR, 19 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat menziarahi jenazah Almarhum YM Raja Dato’ Sri Karib Shah Bin Almarhum Raja Shahruddin Shah yang meninggal dunia di Hospital KPJ Damansara, awal pagi tadi.

Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berangkat tiba di Masjid At Taqwa Taman Tun Dr Ismail kira-kira pukul 9.30 pagi bagi memberi penghormatan terakhir dan menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga serta kaum kerabat.
Almarhum merupakan cucunda kepada Sultan Perak ke-28, Almarhum Sultan Idris Murshidul Azzam Shah ibni AlMarhum Raja Bendahara Alang Iskandar Teja.

Almarhum juga merupakan suami kepada YM Tengku Datin Sri Hanizar Binti Almarhum Tengku Panglima Perang Muhammad yakni cucunda kepada Almarhum Sultan Ahmad Al-Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Dato’ Raja Bendahara Sri Maharaja Tun Wan Ali.
YM Tengku Datin Sri Hanizar juga adalah adinda kepada Almarhumah Tengku Ampuan Hajah Afzan Binti Almarhum Tengku Panglima Perang Muhammad iaitu paduka bonda kepada KDPB Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. -KESULTANAN PAHANG