KUANTAN, 24 Oktober 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat dan Solat Hajat Sempena Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Arif Bendahara di Masjid Negeri Sultan Haji Ahmad Shah 1 di sini kelmarin.

Bacaan Yasin dan doa selamat dipimpin Sahibus Samahah Mufti Negeri Pahang Prof. Datuk Dr. Asmadi bin Mohamed Naim manakala solat Maghrib berjemaah diimamkan YB. Dato’ Ahmad Faizul bin Ghazali al-Hafiz.

Kebawah Duli Paduka Baginda turut berkenan menyampaikan kurnia kepada golongan asnaf dan seterusnya menikmati santapan makan malam bersama rakyat dan kepimpinan.


Berangkat sama, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dengan YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moiz, YAM Tengku Panglima Perang Leftenan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -KESULTANAN PAHANG

