KUALA LUMPUR 1 September 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat ke majlis resepsi kedua perkahwinan anakanda baginda berdua, YAM Tengku Puteri Afzan dan suami, FD Idzham.
Berangkat sama ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Antara kenamaan yang hadir pada majlis tersebut ialah Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar; dan isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.
Acara bermula pada pukul 8.45 malam dengan ketibaan KDPB Sultan Pahang dan tetamu kenamaan masuk ke dewan santapan sebelum pasangan Diraja sama cantik sama padan mengenakan persalinan berona putih melangkah masuk ke dewan sama sebelum duduk di pelamin.
Acara seterusnya ialah salam restu kedua-dua ayahanda dan bonda pasangan pengantin sebelum majlis sebelum majlis santapan yang bermula menyaksikan tayangan gambar-gambar Istiadat Perkahwinan Diraja yang berlangsung pada minggu lepas.
Masih mengekalkan susunan sama seperti majlis yang berlangsung semalam, suasana kekal indah menawan setiap tetamu yang hadir.
Pasangan pengantin kemudiannya memotong kek perkahwinan sebelum tetamu menerima ucapan penghargaan daripada keluarga pengantin lelaki di atas kesudian hadir.
Majlis resepsi diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air iaitu Datuk Sheila Majid. –KESULTANAN PAHANG