KUANTAN, 31 Ogos 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bercemar duli berangkat ke Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 4, di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bersama paduka-paduka adinda.
Keberangkatan tiba Paduka Baginda pada pukul 8.30 pagi disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta barisan kepimpinan negeri.
KDPB Sultan Pahang kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama sebelum berkenan menyaksikan perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan yang melibatkan 150 kontinjen, terdiri daripada 87 kontinjen berjalan kaki dan 63 kontinjen berkenderaan.
Perbarisan dan perarakan itu melibatkan seramai 3373 peserta serta 609 kenderaan dan berlangsung selama lebih dua jam.
Sambutan tahun ini turut mencatat satu lagi detik bersejarah apabila aksi penerjunan Jalur Gemilang gergasi bakal diiktiraf dalam Malaysian Book of Records (MBOR).
Aksi tersebut menyaksikan penerjun Sjn Udara Muhamad Firdaus Minhat yang mempunyai 553 rekod terjunan membawa Jalur Gemilang dari udara sebelum bendera berukuran 4 meter x 6 meter dan seberat lapan kilogram dibuka pada ketinggian 4,000 kaki.
Bendera berkenaan dikibarkan secara berpasangan sebelum dicantumkan di udara pada ketinggian 1,000 kaki, sebelum dipisahkan semula bagi membolehkan para penerjun melakukan pendaratan dengan selamat seorang demi seorang.
Lebih membanggakan, aksi penerjunan Jalur Gemilang gergasi itu menjadi manifestasi semangat patriotisme dan kecintaan terhadap negara, apabila keberanian para penerjun membawa bendera kebangsaan dari langit ke bumi menjadi simbol bahawa Jalur Gemilang sentiasa megah di hati rakyat Malaysia, tidak kira di darat mahupun di langit.
Selain itu, dua buah helikopter AW139 daripada No. 3 Skuadron, Pangkalan Udara Butterworth turut membawa 18 orang penerjun Pasukan Khas Udara (PASKAU) yang melakukan aksi penerjunan dari ketinggian 6,000 kaki. Aksi penerjunan itu diketuai Kolonel Muhammad Mustafa bin Omar TUDM, Pegawai Memerintah PASKAU.
Sambutan turut digamatkan dengan lintasan udara enam pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No. 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang melakukan flypast di ruang udara Bandaraya Kuantan.
Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Pahang tahun ini dihadiri kira-kira 20,000 pengunjung,yang hadir untuk menyaksikan acara yang disajikan. – KESULTANAN PAHANG









