KUALA LUMPUR, 7 Oktober 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal di Taman Duta di sini semalam.
Turut berangkat, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah, YHM Che Puan Panglima Raja Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moiz, YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Majlis Adat Midodareni merupakan salah satu acara sempena Istiadat Perkahwinan Putera Diraja YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah dengan YM Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dijadualkan berlangsung pada 24 Oktober, 25 Oktober dan 27 Oktober 2024 di Istana Abdulaziz, Kuantan, Pahang. -KESULTANAN PAHANG