KUANTAN, 16 Okt – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke lawatan kapal penyelidik R/V OceanXplorer di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Markas Wilayah Laut 1 disini, semalam.

Turut berangkat Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Berangkat sama, YAM Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

R/V OceanXplorer, yang dianggap sebagai kapal penyelidikan tercanggih yang pernah dibina, kini berada di Malaysia untuk berkolaborasi dengan penyelidik tempatan dalam melaksanakan kajian saintifik marin di perairan Kuantan.

Dalam lawatan ini, Sultan Pahang turut berkenan melawat pameran yang disediakan oleh Pusat Hidrografi Nasional dan Tim Selam MAWILLA 1 dalam menunjukkan sokongan baginda terhadap usaha penyelidikan saintifik dan inovasi maritim yang penting bagi pembangunan negara serta kelestarian sumber marin. – KESULTANAN PAHANG


