PEKAN 25 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Kunci Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) di Pulau Keladi, di sini hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut mengiringi ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Hadir sama ialah wakil kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mr Aamer Alteneiji.

Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda berkenan menyerahkan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru’RASA) kepada 15 penerima melibatkan penduduk daripada 15 buah kampung di sekitar daerah Pekan.

Paduka Baginda dalam titah mengakui bahawa Ru’RASA yang dibina dengan kerjasama kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ini begitu dekat di hati Paduka Baginda malah sentiasa mengambil maklum mengenai perkembangan projek berkenaan dari semasa ke semasa.

Paduka Baginda juga turut menzahirkan penghargaan di atas keprihatinan Presiden UAE Sheikh Mohammed Zayed Al Nahyan atas bantuan menyediakan kediaman demi keselesaan rakyat di negeri ini.

“Saya harap (penerima rumah) dapat tinggal dengan penuh keselesaan dan penuh kesejahteraan. Dan daripada itu, saya hendak (ucapkan) terima kasih kepada pihak raja UAE dan juga pihak wakil UAE yang ada hari ini. Thank you for being here,” titah Paduka baginda.

Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah, projek Ru’RASA ini tidak mempunyai kuota spesifik bagi pembinaannya dan jumlah projek adalah bergantuk kepada peruntukan yang diterima.

“Peruntukan Ru’RASA banyaknya daripada UAE, saya cuma facilitate, pemudah cara. Terima kasih, dalam beberapa tahun, proses ini berjalan dengan baik dan mudah-mudahan program ini akan ditambahkan lagi (pada masa akan datang), insya-Allah,” titah Paduka Baginda. — KESULTANAN PAHANG
