LIPIS, 3 Disember 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar kepentingan penggunaan Bahasa Melayu dan tulisan jawi terus ditekankan bagi memastikan ia tidak ditenggelami budaya asing.
Titah Paduka Baginda, Bahasa Melayu adalah medium utama yang dapat memperkenalkan keunikan warisan, adat resam dan tradisi kita kepada seluruh dunia.
“Negeri Pahang sebagai negeri yang kaya dengan sejarah, alam semulajadi dan budaya telah mengambil langkah proaktif dengan menguatkuasakan penggunaan Bahasa Melayu dan tulisan jawi pada semua papan tanda perniagaan serta jalan raya bermula tahun 2020 lagi.
“Tindakan daripada titah saya ketika itu, adalah manifestasi komitmen kita untuk memastikan identiti kita terus terpelihara dan dikenali.
Tulisan jawi sebagai sebahagian daripada warisan bangsa turut memainkan peranan penting dalam menonjolkan keaslian negeri ini,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Masjid Baharu Kampung Rengai di sini hari ini.
Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.
Sementara itu pada majlis sama, Paduka Baginda bertitah agar rakyat tidak menjadi ‘Seperti Kaduk Naik Junjung’ yang begitu teruja dengan bahasa dan budaya luar sehingga mengabaikan akar bangsa sendiri.
“Saya menyeru semua rakyat terutamanya pengusaha premis perniagaan, penggiat industri pelancongan dan masyarakat awam untuk terus mematuhi dan mendukung peraturan ini (penggunaan Bahasa Melayu dan tulisan jawi).
“Pastikan Bahasa Melayu dan tulisan jawi digunakan secara menyeluruh, bukan sekadar memenuhi syarat tetapi sebagai tanda cinta dan hormati kepada warisan bangsa,” titah Paduka Baginda.
Tegas Paduka Baginda, rakyat tidak seharusnya kehilangan jati diri dalam mengejar arus pembangunan, malah berusaha memperkenalkan budaya sendiri kepada orang luar.
“Saya ingin mengingatkan, dalam usaha membangunkan negeri dan membuka pintu kepada pelancong dari serata dunia, kita tidak seharusnya kehilangan jati diri.
“Sebaliknya kita mesti memastikan setiap yang melawat ke negeri Pahang dapat melihat dan merasai keunikan budaya dan bahasa kita,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG