PEKAN 28 April 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah menzahirkan hasrat untuk menubuhkan Pusat Rujukan Jawi Negeri Pahang sebagai teras pendidikan, rujukan dan pemeliharaan tulisan jawi.

Paduka Baginda mahu semua pihak berkaitan memberi komitmen padu dan bersepadu berkenaan hasrat tersebut kerana tulisan jawi adalah warisan besar bangsa Melayu dan simbol peradaban Islam yang perlu terus dipelihara.

“Saya ingin, agar satu badan atau institusi khusus ditubuhkan di bawah Majlis (Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) dengan mandat melaksanakan kursus,latihan dan pertauliahan jawi secara rasmi.

“Agenda jawi ini tidak boleh dianggap sebagai sisipan atau pelengkap semata-mata, sebaliknya mesti dijadikan komponen penting dalam membina negeri yang bertamadun dan berindentiti,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat bercemar duli ke Mesyuarat MUIP kali ke-194 di sini hari ini.

Turut berangkat mengiring ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah yang juga merupakan Timbalan Yang Dipertuan MUIP. – KESULTANAN PAHANG
