KUANTAN, 4 Mei 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan syabas dan tahniah di atas kejayaan penganjuran Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 di Padang MBK 1, hari ini.
Ucapan sama turut dizahirkan secara khusus Paduka Baginda berdua kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang dihadiri Menterinya, YB Nga Kor Ming serta pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia yang dipimpin Ketua Pengarahnya, YAS Dato’ Ts. Nor Hisham bin Mohammad.
Sambutan daripada rakyat jelata yang turut hadir menyaksikan acara yang dipersembahkan turut menambah kemeriahan acara yang berlangsung selama kira-kira tiga jam itu.
Dalam pada itu, kemeriahan Bandaraya Kuantan dengan pelbagai acara berlangsung serentak pada hujung minggu ini turut menarik perhatian Paduka Baginda berdua yang turut merasai kemeriahan kunjungan rakyat dari dalam dan luar negeri Pahang ini.
Paduka Baginda berdua menzahirkan nasihat agar peserta , pengunjung mahupun penganjur dapat menjaga keharmonian dan keselamatan di dalam setiap kemeriahan acara yang berlangsung.
Antara program yang berlangsung di Kuantan pada hujung minggu ini ialah Sambutan Hari Bomba Sedunia 2025 di Padang MBK 1, Ruang Lepak di Menara Kuantan 188, Karnival Kereta dan Motor di Serambi Teruntum, RXZ Fighter 2.0 di Pantai Teluk Cempedak dan Pesta Galau di Pantai Batu Hitam.
Selain itu program lain yang turut berlangsung ialah Hari Terbuka Armada 2025 di Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Pasar Sera Picnic di Taman Pertanian Sultan Haji Ahmad Shah Temasya Maharaja Lawak di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah serta Pesta Buku Big Bad Wolf di Megamall. -KESULTANAN PAHANG