KUANTAN, 9 JUN 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga kesemua mangsa nahas kemalangan jalan raya membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli, awal pagi tadi.
Paduka Baginda berdua amat dukacita atas pemergian kesemua mangsa dalam kemalangan tragis berkenaan dan mendoakan agar roh kesemua mereka dicucuri rahmat Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.
Semoga waris serta ahli keluarga yang ditinggalkan dikurniakan ketabahan dan kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini.
Dalam pada itu, Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar mangsa-mangsa yang cedera dan masih dirawat dikurniakan kesembuhan serta kembali kuat meneruskan kehidupan mendatang.
Al-Fatihah.
-KESULTANAN PAHANG