RAUB, 11 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar kajian terperinci serta cara penyelesaian tuntas perlu dilakukan bagi mengelak masalah banjir terus berulang.
Paduka Baginda bertitah, antara usaha yang boleh dilakukan ialah memperdalam sungai-sungai di perkampungan yang terlibat dengan banjir.
“Usaha ini diharap dapat mengurangkan kesan daripada banjir khususnya kawasan di tepi sungai.
“Kita perlu usahakan dengan cara kita untuk terus kaji dan kalau tidak kita akan berada dalam keadaan ini buat selama-lamanya,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat bercemar duli menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Kampung Tok Machang dekat sini, hari ini.
Turut berangkat mengiringi Paduka Baginda ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Sebanyak 66 buah keluarga melibatkan 230 orang mangsa banjir dari enam buah kampung ditempatkan di PPS berkenaan sejak semalam.
Sementara itu, Paduka Baginda berharap agar mana-mana pihak pemaju mempertimbangkan pembinaan rumah yang lebih tinggi terutamanya di kawasan berisiko tinggi banjir.
Paduka Baginda bertitah, fenomena banjir merupakan perkara biasa di Pahang khususnya bagi mereka yang tinggal di kawasan persisiran sungai.
“Ini memang suatu fenomena yang biasa di Negeri Pahang, mereka-mereka yang tinggal di tepi sungai akan menghadapi risiko seperti ini (banjir).
“Saya harap kalau ada kementerian, agensi atau bantuan daripada pihak kerajaan atau swasta kalau hendak membina rumah , biarlah rumah itu tinggi sikit,” titah Paduka Baginda
Dalam pada itu, Paduka Baginda baginda turut memberi perhatian terhadap kejadian banjir lumpur yang melanda beberapa kawasan di daerah Lipis.
“Saya tidak tahu (banjir) lumpur atau air sebab saya tidak tengok sendiri, tengok esok macam mana kalau keadaan bertambah teruk saya akan ke sana,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG