KUANTAN, 20 Ogos 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar sebuah balai bomba dan penyelamat dapat diwujudkan di kawasan Tanjung Lumpur.
Paduka Baginda bertitah, setakat ini tiada balai bomba dan penyelamat di kawasan tersebut dan sebarang kes kebakaran atau kecemasan yang berlaku hanya bergantung kepada bantuan daripada Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan dan Taman Tas.
“Penting untuk wujudkan sebuah balai bomba bagi kegunaan dan keselamatan penghuni-penghuni di Tanjung Lumpur dan sekitarnya.
“Saya pun tidak nampak mana balai bomba di kawasan Tanjung Lumpur dan Inderapura ini.
“Sudah sampai masanya kita perlu adakan balai yang sesuai untuk kawasan ini. Semakin hari semakin banyak pembangunan di kawasan sekitar dan kita harap ini (balai bomba) dapat diusahakan pihak kerajaan,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli melawat mangsa kebakaran tiga buah rumah teres di Taman Kempadang Makmur, di sini semalam.
Ketibaan baginda pada pukul 2.45 petang diiringi Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira satu jam bertemu kesemua mangsa dan melihat sendiri lokasi kejadian sebelum menyampaikan kurniaan sumbangan kepada tiga buah keluarga terlibat.
Dalam pada itu, Paduka Baginda turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati dan tidak membuat perkara yang boleh mencetus kepada kebakaran.
“Kebakaran ini bukan sahaja disebabkan oleh cuaca kering, ada juga disebabkan oleh kecuaian manusia.
“Kita nasihat supaya hati-hatilah. Jangan mudah-mudah buang puntung rokok dan bakar (sampah) secara terbuka sewenang-wenangnya. Kena ambil kiralah perkara yang boleh mengakibatkan kebakaran itu berlaku,” titah Paduka Baginda.
Mengulas tentang situasi kebakaran hutan dan air sungai kering, Paduka Baginda turut menyeru agar rakyat negeri ini untuk sentiasa berdoa dan menjalankan solat sunat Istisqa’.
“Saya setiap hari berdoa juga, kita semua rakyat kena berdoa jangan ada kemarau, jangan ada banjir dan segala musibah. Teruskan berdoa,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG