JERANTUT 29 JUN 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli ke Karnival Kesejahteraan Masyarakat dan merasmikan Projek Kesejahteraan Kelestarian di Tembeling (SWIT) yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Ulu Tembeling (SKUT), Kampung Bantal di sini hari ini.

Paduka Baginda yang juga Ketua Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berangkat tiba pada pukul 9.30 pagi berkenan merasmikan karnival berkenaan sebelum melawat reruai berkaitan pendidikan dan pemeriksaan kesihatan.

Lebih istimewa, Paduka Baginda turut berkenan membuat demonstrasi menyediakan menu sihat dengan memasak sup ayam dan ikan talapia kukus resepi khas dari istana.

Sebelum majlis santapan, Paduka Baginda mengurniakan sumbangan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 120 buah keluarga fakir miskin dan asnaf dari beberapa kampung sekitar Ulu Tembeling.

Karnival anjuran Kulliyah Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama beberapa agensi Kerajaan Negeri Pahang ini memberi manfaat kepada rakyat setempat melalui usaha meningkatkan kesedaran penjagaan kesihatan secara lebih baik. -KESULTANAN PAHANG
