KUANTAN 10 Mac 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Berbuka Puasa UIAM yang berlangsung di Dewan Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan.

Keberangkatan Paduka Baginda yang juga Ketua Perlembagaan UIAM diiringi YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan isteri, YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilisha Ameera binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pada majlis berkenaan, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan duit raya kepada pelajar UIAM Kampus Kuantan sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka.

Sumbangan zakat ini disalurkan melalui Tabung Endowmen UIAM (IEF), penerima sumbangan merupakan 33 orang pelajar asnaf yang terdiri 9 orang pelajar lelaki dan 24 orang pelajar perempuan.

Paduka Baginda dan hadirin turut menunaikan solat Maghrib, solat Isyak dan kemudiannya solat Tarawih di dewan berkenaan.

Keberangkatan Tengku Ampuan Pahang mencerminkan keperihatinan Paduka Baginda sebagai Ketua Perlembagaan UIAM terhadap pendidikan dan kebajikan mahasiswa, sejajar dengan nilai-nilai yang diterapkan dalam sistem pendidikan Islam.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah isteri YAB Menteri Besar Pahang, Datin Sri Diraja Dato’ Hajah Burhah Mohammed, Duta Besar Bangladesh ke Malaysia merangkap Ahli Lembaga Gabenor(BOG) UIAM, TYT Md. Shameem Ahsan, Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Timbalan-timbalan Rektor UIAM, pegawai-pegawai kanan UIAM, para pelajar, serta kakitangan UIAM. -KESULTANAN PAHANG
