KUALA LUMPUR, 16 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen Ke-40 Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Gombak, hari ini.
Seramai 5,041 orang graduan menerima skrol masing-masing pada Majlis Konvokesyen yang bermula hari ini sehingga 20 November 2024 sekaligus meraikan pencapaian mereka dalam pelbagai peringkat akademik.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman dan Rektor UIAM, Prof. Emeritus Datuk Dr Osman Bakar.
Paduka Baginda selaku Ketua Perlembagaan UIAM turut berkenan mengurniakan anugerah gelaran Profesor Emeritus (Lelaki) dan Emerita (Wanita) kepada Prof. Dr. Maliah Sulaiman, Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin dan Prof. Dr. Rosnani Hashim.
Profesor Emeritus/Emerita merupakan gelaran sepanjang hayat yang diberikan kepada Profesor yang telah bersara sepenuhnya daripada perkhidmatan namun terus memberikan sumbangan dalam bidang akademik.
Pada majlis sama, Paduka Baginda turut menyampaikan beberapa Anugerah Kecemerlangan Akademik utama antaranya ialah Anugerah Pelajaran Diraja (Royal Education Award), Anugerah Pelajar Keseluruhan Terbaik Universiti, Anugerah Khas Abdullah Ibn Ummi Maktum (Akademik) dan Anugerah Khas Amr Ibn Al-Jamuh (Ko-Kurikulum).
Sementara itu, Paduka Baginda dalam titah menekankan bahawa ijazah yang diterima bukan hanya sekadar sekeping kertas yang merangkumi pencapaian akademik, tetapi perlu diubah menjadi tindakan untuk memperjuangkan masa depan yang mampan, aman dan beretika untuk semua masyarakat di seluruh dunia.
“Semua ini telah diajar kepada anda secara teori dan tindakan supaya anda boleh berkembang di peringkat nasional dan global. Berbanggalah dengan nama UIAM dan sudah pasti kami semua amat berbangga dengan pencapaian anda.
Paduka Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada ibu bapa yang menitikberatkan kepentingan pendidikan kepada anak-anak seperti yang Paduka Baginda sendiri lakukan.
“Saya yakin, para graduan yang berada dalam dewan hari ini tidak mungkin menggapai kejayaan tanpa tuan puan semua. Sesungguhnya sebagai ibu bapa sudah pasti tuan puan sekalian tidak pernah berhenti untuk memberi sebaik-baik usaha, bimbingan, kasih sayang dan doa tuan puan sekalian.
“Saya ucapkan tahniah kerana anda semua telah menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan penuh jayanya. Sesungguhnya, ilmu dan kejayaan ini merupakan kurniaan Allah SWT.
“Pada para graduan sekalian, jangan lupa untuk berterima kasih dan menghargai bukan sahaja ibu bapa, tetapi juga mereka yang telah menyumbang untuk kejayaan anda. Ingatlah ular menyusur akar tidak akan hilang bisanya. Ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi. Sebarkanlah kebaikan, mudah-mudahan kebaikan akan datang kepada kita,” titah Paduka Baginda. -KESULTANAN PAHANG