PULAU PINANG 27 JUN 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Program Battle Of The Chefs di Spice Arena, Bayan Lepas di sini hari ini.
Paduka Baginda yang tiba pada pukul 10.30 pagi berkenan menyaksikan persembahan Tarian Tradisional Nyonya oleh Persatuan Peranakan Cina, Pulau Pinang sebelum merasmikan pertandingan tersebut.
Seiring kecintaan yang mendalam terhadap bidang masakan, Paduka Baginda dalam titah perasmian turut berharap agar acara ini menjadi pemangkin kepada perkongsian dan perkembangan bidang kulinari merentasi dunia.
Paduka Baginda turut berkenan meluangkan masa melawat reruai yang mempamerkan aneka hasil masakan daripada semua chef yang menyertai pertandingan ini.
Battle of The Chefs 2024 merupakan edisi ke-19 sejak ia dianjurkan pada tahun 1988 di mana pada tahun ini lebih 1,100 orang chef daripada 32 buah negara bersaing dalam 60 kategori pertandingan masakan yang diadakan bermula 27 hingga 29 Jun 2024.
Pelbagai pengisian dijadualkan sepanjang tiga hari acara ini berlangsung antaranya seminar pemerkasaan penjurian oleh Persatuan Chef Komuniti Dunia (WACS), kesedaran dan kepentingan status halal, keselamatan dan kebersihan makanan serta pelbagai lagi acara berkaitan dunia kulinari. -KESULTANAN PAHANG