KUANTAN, 19 Jun 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Perkhemahan Pandu Puteri Tunas 2025 Peringkat Negeri Pahang di Pusat Kokurikulum
Daerah, Kampung Pedah di sini hari ini.

Keberangkatan Paduka Baginda pada jam 10.30 pagi disambut meriah kira-kira 510 peserta yang terdiri daripada ahli Pandu Puteri Tunas dan pemimpin dari
seluruh Negeri Pahang.

Paduka Baginda dalam titah menzahirkan rasa sukacita melihat penyertaan yang menggalakkan daripada ahli-ahli Pandu Puteri Tunas dari seluruh negeri Pahang.

“Program seperti ini bukan sahaja
menceriakan suasana, malah menjadi platform terbaik untuk menyemai nilai murni, membentuk sahsiah terpuji serta mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan kanak-kanak perempuan
seawal usia mereka.

“SDG 15 Life on Land atau hidupan didarat telah dipilih sebagai tema perkhemahan Pandu Puteri Tunas Negeri Pahang pada tahun ini sesuai dengan persekitaran tapak perkhemahan.
Pemilihan tema ini menggambarkan bahawa Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang juga prihatin terhadap kepentingan penjagaan alam sekitar yang berterusan,” titah Paduka Baginda.

Titah Paduka Baginda lagi, besar harapan untuk melihat kesemua peserta dapat mencapai objektif aktiviti ini iaitu mencipta pelbagai pengalaman, mempelajari kemahiran baharu, memupuk semangat kerjasama, bertolak ansur, berdisplin, berdikari serta dapat membentuk interaksi dan komunikasi yang baik. -KESULTANAN PAHANG
