PEKAN 11 Ogos 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan berangkat bercemar duli merasmikan Sambutan Hari Orang Asli Sedunia peringkat Negeri Pahang di Sekolah Kebangsaan Permatang Keledang, hari ini.
Ketibaan Paduka Baginda pada pukul 10.30 pagi disambut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Datuk Hajah Sapiah Mohd Nor serta pemimpin-pemimpin setempat sebelum dipersembahkan tarian sewang oleh masyarakat asli Pekan.
Menggelarkan Orang Asli sebagai Orang Kita, Paduka Baginda bertitah bahawa kehidupan ketika kecil Paduka Baginda sudah terbiasa dan terdedah dengan rutin masyarakat Orang Asli.
“Saya masih ingat ketika kecil, Almarhum ayahanda selalu bawa saya ke perkampungan Orang Asli Kuala di Johor, di situ saya belajar banyak benda termasuk makan siput gonggong, buah setu…dah lebih 40 tahun saya tak makan buah setu, tak jumpa dah.
“Almarhum ayahanda memang rapat juga dengan Orang Kita, mereka juga ada datang ke istana (Johor).. kalau nak kahwin, dapat anak, sakit..semua mengadu dekat ayahanda saya,” titah Paduka Baginda.
Pada majlis sama, Paduka Baginda berkenan menyampaikan kurniaan sumbangan bakul makanan kepada sepuluh orang wakil Ketua Isi Rumah (KIR) Orang Asli di daerah Pekan sebelum berkenan melawat reruai termasuk persembahan robotik oleh pelajar SK Permatang Keledang yang disediakan sempena sambutan berkenaan.
Lebih istimewa, Paduka Baginda turut berkenan menyinsing lengan memasak dua jenis menu yang juga makanan tradisi Orang Asli iaitu ikan seluang kering goreng dan daging salai masak randau.
Paduka Baginda kemudian berkenan menanam Pokok Merbau sebagai tanda kenangan di perkarangan sekolah berkenaan sebelum bersantap dan berangkat pulang. -KESULTANAN PAHANG