KUANTAN 30 Julai 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj mendahului senarai 24 penerima darjah-darjah kebesaran sempena Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Darul Makmur Sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Setia Al-Sultan Abdullah Ahmad Shah (SAAS) kepada KDPB Tengku Ampuan Pahang serta lapan lagi penerima.
Turut dikurniakan darjah kebesaran SAAS yang pertama kali diperkenalkan itu ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tujuh lagi penerima darjah kebesaran SAAS yang membawa gelaran Dato’ Sri Setia ialah Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah; Yang Amat Mulia Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta Yang Amat Mulia Tengku Arif Temenggung Tengku Fahad Mua’adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Turut tersenarai ialah Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Teja Puan Sri Dato’ Sri Hajah Tengku Muhaini Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah; Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Dato’ Sri Hajah Aishah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah; Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Lela Manja Tengku Dato’ Sri Hajah Nong Fatimah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah; dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Seri Bongsu Tengku Dato’ Sri Hajah Shahariah Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Pada majlis sama, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan mengurniakan Darjah Kerabat Sri Indera Mahkota Pahang Yang Amat Di Hormati kepada paduka adinda Raja Jordan, Putera Ali Al Hussein.
Sementara itu, Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Utama Sri Diraja Sultan Ahmad Shah Pahang (SDSA) Yang Membawa Gelaran Dato’ Sri Diraja kepada YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.
Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia – Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Dato’ Sri kepada YB Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang, Dato’ Saiful Edris Zainuddin; Ketua Pengarah Unit Kerjasama Awam Swasta Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Shamsul Azri Abu Bakar dan Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Indera Haji Muhamad Norazlan Aris TUDM.
Turut menerima darjah kebesaran dan gelaran sama ialah, Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Haji Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Jabatan Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular Institut Jantung Negara, Profesor Dato’ Dr. Alwi Mohamed Yunus; Perunding Kanan Pakar Pembedahan Kardiotorasik dan Vaskular Institut Jantung Negara, Profesor Dato’ Dr. Mohamed Ezani Md Taib serta Perunding Ancom Nylex Berhad, Dato’ Ahmad Johari Tun Abdul Razak.
Dua orang menerima Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Pertama Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) yang membawa gelaran Dato’ Indera ialah Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Tuan Yang Terutama Dato’ Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Secretary General Higher Committee of Human Fratenity, United Arab Emirates (UAE), Tuan Yang Terutama Datuk Dr. Khalid Ghanim AlGaith.
Dalam pada itu Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Tuan Ir. Razali Kassim bersama Duta Besar Malaysia Ke Itali, Tuan Yang Terutama Zahid Tan Sri Rastam dan Pengarah Asian Perlite Industries Sdn. Bhd, Encik (Luuk Runia) Lukman Runia Albert dikurniakan Darjah Kebesaran Mahkota Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Kedua Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’.
Mengakhiri senarai penerima ialah Juruiring kepada Putera Ali Al Hussein, Brig Gen (Rtd) Farid Moh’d Ali Hajamat Qat yang dikurniakan Darjah Kebesaran Al-Sultan Abdullah Pahang Yang Amat Mulia – Peringkat Ketiga Setia Al-Sultan Abdullah Pahang (SAS). – KESULTANAN PAHANG