KUANTAN 7 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan berangkat mempengerusikan Mesyuarat Agung ke-11 Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) di Istana Abdulaziz di sini.

Paduka Baginda yang juga Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup TAFF amat berbangga dengan kejayaan TAFF sepanjang 20 tahun ditubuhkan dalam membantu pasangan suami isteri mendapatkan cahaya mata.

Untuk rekod, seramai 143 bayi berjaya dilahirkan membabitkan 120 pasangan menerusi kaedah IVF.

Semalam, TAFF menyerahkan surat tawaran penajaan rawatan IVF kepada 65 lagi pasangan dan Paduka Baginda berharap lebih ramai pasangan yang sukar mendapat anak mencuba rawatan IVF.

Justeru, mereka yang berhasrat untuk memohon rawatan IVF boleh menghubungi TAFF di talian 09-5733241 (9am -5pm Isnin hingga Jumaat). – KESULTANAN PAHANG