SHAH ALAM 13 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Seni Kreatif dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Ibni Al-Marhum Sultan Iskandar yang juga kekanda Paduka Baginda sendiri pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-100 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Kampus Induk UiTM, di sini.
Turut berangkat ialah Pro-Canselor UiTM, Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Hajah Norashikin Abdul Rahman.
KDYMM Sultan Ibrahim dalam titah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Paduka Baginda di atas sumbangan dan pencapaian cemerlang dalam industri kreatif negara.
Penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan yang tinggi terhadap sumbangan Paduka Baginda dalam memperkasa serta memartabatkan seni warisan budaya, khususnya dalam bidang seni tekstil dan seni kraf tradisional.
KDPB Tuanku Azizah sangat komited dan memainkan peranan yang besar dalam usaha mengangkat, sekaligus memasyhurkan Tenun Pahang sebagai Tenun Pahang Diraja. Kepakaran dan bakat semulajadi yang ada pada Paduka Baginda amat dikagumi dan tentunya menjadi sumber inspirasi, khususnya kepada semua golongan wanita.
Paduka Baginda juga amat terkenal dengan personaliti dan ketokohan tersendiri, sering bergerak aktif dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan badan-badan amal. Kecemerlangan sumbangan Paduka Baginda dapat dilihat melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan, sama ada pada peringkat negara mahupun antarabangsa. -KESULTANAN PAHANG