ABU DHABI 2 Oktober 2024 – Pertemuan khas antara Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan Putera Mahkota Abu Dhabi Sheikh Khaled bin Mohamed bin Zayed dilihat membuka ruang lebih luas bagi jalinan kerjasama erat antara negeri Pahang dan negara itu sendiri.
Pertemuan selama satu jam setengah yang berlangsung di Pejabat Majlis Eksekutif Abu Dhabi itu turut membincangkan beberapa perkara termasuk kerjasama dari sudut perkembangan pendidikan, pemuliharaan ekosistem dan spesis Harimau Malaya serta pembangunan Islam.
Turut hadir sama ialah Yang Amat Mulia Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Pada sesi pertemuan itu, KDPM Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Putera Mahkota Sheikh Khaled atas kerjasama yang erat untuk memperkasakan institusi pendidikan Pahang iaitu UniPSAS dan UMPSA bersama Mohamed Bin Zayed University for Humanities (MBZUH) melalui perjanjian persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani bersama.
Pada pertemuan sama, KDPM Tuanku juga membincangkan pembangunan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah serta inisiatif Save The Malayan Tiger surut turut menjemput pihak UAE untuk turut bersama menjayakan inisiatif tersebut.
KDPM Tuanku dan Putera Mahkota Abu Dhabi juga bertukar idea dan fikiran bagi kerjasama untuk pembangunan agama islam antara UAE dan Negeri Pahang – KESULTANAN PAHANG