BANTING, 26 Mei 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan berangkat ke sesi pertemuan tertutup bersama pegawai dan anggota Pasukan Khas Tentera Udara (PASKAU), hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada jam 9.30 pagi di Pangkalan Udara Jugra disambut oleh Timbalan Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Nur Hafis Abdul Karim TUDM, Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Dato’ Masro Kaliwon TUDM serta Panglima Rejimen, Brigedier Jeneral Mohd Zairul Hisham Muhamad Ibrahim TUDM.
Sebaik tiba, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku telah berkenan memeriksa kawalan perbarisan kehormat yang terdiri daripada anggota PASKAU sebelum meneruskan sesi pertemuan tertutup bersama pegawai dan anggota pasukan elit berkenaan.
Sesi tersebut diadakan sebagai platform bagi memperkukuhkan hubungan antara institusi Diraja dan warga Angkatan Tentera Malaysia khususnya PASKAU selain memberi ruang kepada pertukaran pandangan serta perkongsian berkaitan aspek keselamatan dan pertahanan negara.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku jelas mencerminkan keprihatinan serta sokongan berterusan terhadap kesiapsiagaan dan pengorbanan warga pertahanan negara dalam memastikan keamanan dan kedaulatan tanah air sentiasa terpelihara. -KESULTANAN PAHANG






