KUANTAN, 10 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Pengurniaan Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026, serta merasmikan Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang, hari ini.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku pada jam 5.15 petang disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang, YB Tuan Fadzli Mohamad Kamal serta Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Yang Berbahagia Dato’ Rahimi Ismail.
Pada majlis tersebut, seramai 14 penerima daripada pelbagai latar belakang diiktiraf menerusi Anugerah Perdana Belia Negara dan Anugerah Khas Belia Kerajaan Negeri Pahang 2026 sebagai menghargai jasa, sumbangan dan komitmen mereka dalam pembangunan belia serta khidmat kepada masyarakat, khususnya di negeri Pahang.
Seusai majlis, Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku berkenan melawat reruai pameran serta meninjau kemudahan yang disediakan di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Pahang.
Turut mengiringi keberangkatan Kebawah Duli Paduka Mulia Tuanku ialah YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Nazri Abu Bakar serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, Puan Azura Abidin. – KESULTANAN PAHANG








