CYBERJAYA, 3 Oktober 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke Majlis Makan Malam Gala Diraja anjuran Kelab Polo dan Ekuestrian Diraja Selangor (RSPEC) bersama-sama Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norasyikin, di sini semalam.
Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang bersama-sama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Majlis Makan Malam Gala Diraja itu diadakan bersempena sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor dan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari serta Presiden RSPEC, Datuk Syed Budriz Putra Jamalullail.
Pada majlis tersebut, DYMM Sultan Selangor berkenan menyampaikan Polo Lifetime Achievement Award kepada sembilan penerima sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan mereka dalam pembangunan serta pemerkasaan sukan polo.
Majlis berkenaan turut menjadi wadah bagi RSPEC memperluas perkembangan sukan polo dan ekuestrian agar lebih dekat dengan masyarakat, di samping menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan berasaskan sukan. – KESULTANAN PAHANG








