RAUB, 5 September 2024 : Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar keindahan dan kehijauan alam sekitar di Bukit Fraser terus dikekalkan tanpa sebarang penerokaan atau pembangunan baharu.
Paduka Baginda bertitah, keluasan Bukit Fraser yang tidak begitu besar tidak seharusnya dicemari dengan isu seperti kesesakan lalu lintas, masalah kebersihan atau penerokaan haram sekaligus mengelak masalah seumpama seperti yang berlaku di Cameron Highlands.
“Namun kita perlukan pelancong yang boleh datang ke sini untuk menikmati alam sekitar, kita nak jadikan Bukit Fraser sebagai satu destinasi ‘environmental compliance’, yang pentingkan aspek-aspek alam semula jadi.
“Kita nak kekalkan kecantikan bangunan-bangunan lama dan ciri-ciri yang cantik semua akan dikekalkan. Padang golf, laluan pendaki dan (kawasan persekitaran) air terjun pun perlu baiki.
Kita tumpukan apa yang ada sekarang, tak perlu bawa benda baharu. Kita jaga dengan baik,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Perasmian Wyndham Garden Shahzan Fraser’s Hill, hari ini.
Majlis perasmian hotel berkenaan merupakan salah satu acara dihadiri sepanjang tiga hari lawatan kerja Paduka Baginda ke Fraser Hill iaitu bermula 4 hingga 6 September.
Paduka Baginda turut berkenan melawat The Paddock dan menyampaikan kurniaan dua ekor kuda kepada The Paddock Fraser Hill di bawah kelolaan Tourism Pahang.
The Paddock Fraser Hill menyediakan aktiviti menunggang kuda kepada pelancong dengan pengawasan jurulatih bertauliah serta kawasan yang terkawal.
Paduka Baginda kemudiannya berkenan melawat Allan’s Water iaitu tasik semulajadi yang juga merupakan tarikan di Bukit Fraser. Paduka Baginda meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk menikmati persekitaran serta memberi makan kepada ikan Koi, Talapia dan Keli Afrika yang ada dalam tasik berkenaan.
Lawatan kerja Paduka Baginda akan diteruskan pada hari esok di mana Paduka Baginda berkenan mendengar taklimat pelancongan dan pembangunan Bukit Fraser sebelum berangkat pulang. -KESULTANAN PAHANG