CAMERON HIGHLANDS 7 Ogos 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar semua pihak memainkan peranan sewajarnya dalam memastikan spesis Harimau Malaya terus terjaga dan dipelihara.
Paduka Baginda bertitah, Pahang memiliki kawasan hutan terbesar di Semenanjung Malaysia termasuk sebagai habitat Harimau Malaya sekaligus menjadi tanggungjawab penting bagi negeri ini melindungi dan memelihara biodiversitinya.
“Kesungguhan dan inisiatif jelas yang diambil anakanda saya, Tengku Mahkota Pahang dengan sokongan Kerajaan Negeri Pahang maka terhasillah rizab harimau pertama di Malaysia yang dinamakan Rizab Harimau Diraja Al-Sultan Abdullah. Saya hargai rizab ini dinamakan sempena nama saya, malah secara peribadi mengambil serius fungsi kewujudannya.
“Semua kemudahan dan aktiviti dalam rizab telah direka bagi membantu pelan pemulihan Harimau Malaya di negara ini sekaligus menjadi komitmen terhadap usaha pemuliharaan harimau di peringkat global.
“Oleh itu, kehadiran kita di sini bukan sahaja untuk mendengar dan memahami usaha pemuliharaan harimau tetapi juga ingin mengajak semua pihak untuk bekerjasama untuk menyelamatkan Harimau Malaya daripada kepupusan yang dahsyat,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat merasmikan The 2nd Pahang Tiger Summit 2024 di Hotel Zenith di sini hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj dan Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Berangkat sama, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Iman Afzan; YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Athiyatullah dan YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana.
Dalam pada itu Paduka Baginda bertitah, usaha yang dilakukan bukan hanya menyediakan kawasan rizab Harimau Malaya yang lebih besar dan selamat, tetapi usaha berterusan menyokong dan membantu rancangan pemulihan harimau di negara ini.
“Saya berharap persidangan hari ini dapat menjadi platform perkongsian ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam kalangan pakar tempatan, pakar antarabangsa serta mereka yang terlibat secara langsung dalam usaha pemuliharaan.
“Ia juga merupakan satu ruang untuk mengemaskini aktiviti dan cabaran yang ada di dalam Rizab Harimau Diraja dan secara peribadi saya akan bersama-sama Kerajaan Negeri menunjukkan sokongan dan komitmen bagi memastikan usaha pemuliharaan Harimau Malaya dan habitatnya berterusan,” titah Paduka Baginda.
Tambah Paduka Baginda, usaha yang dilakukan hanyalah permulaan malah lebih banyak kerja dan tenaga yang diperlukan untuk mencapai sasaran serta objektif dengan berkesan dan untuk mencapai kejayaan, semua elemen utama perlindungan, habitat dan pengayaan mangsa untuk harimau perlu diuruskan mengikut piawaian antarabangsa dengan satu matlamat dalam pengurusan rizab iaitu mendapatkan akreditasi antarabangsa. -KESULTANAN PAHANG