KUANTAN, 22 Oktober 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan perlu memastikan semua bangunan lama di negeri ini berada dalam keadaan selamat untuk beroperasi.

Paduka Baginda bertitah, kebakaran di tiga buah kedai berusia lebih 100 tahun kelmarin perlu dijadikan sebagai peringatan agar kejadian sama tidak berulang.

“Saya nak mengingatkan pihak pentadbiran supaya tengok semula semua bangunan yang sudah lama dan usang. Mungkin juga perlu buat satu dasar yang baru berkaitan dengan bangunan lama ni.

“Perlu juga beri nasihat profesional yang tak boleh diabaikan dan tidak bertindak sambil lewa sahaja. Be firm about it.

“Kalau bangunan tak selamat, tulis situ tak selamat. Sebab ada risiko yang tinggi kepada orang yang datang, yang tinggal di situ dan orang yang bekerja di situ,” titah baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli melawat kawasan kejadian di Jalan Besar di sini kira-kira pukul 11.30 pagi hari ini.

Turut berangkat mengiring ialah YAM Tengku Panglima Perang Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah. – KESULTANAN PAHANG
