KUANTAN, 28 Julai 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang menitahkan agar usaha memelihara alam sekitar diperkukuhkan menerusi kerjasama strategik melibatkan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi pengajian tinggi, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan korporat serta komuniti setempat.
Paduka Baginda bertitah, agenda kelestarian alam merupakan amanah Allah SWT kepada manusia sebagai khalifah di muka bumi dan setiap individu bertanggungjawab memelihara keseimbangan alam ciptaan-Nya.
“Pelbagai kerosakan alam yang berlaku hari ini berpunca daripada perbuatan manusia seperti pembuangan sampah merata-rata, pencerobohan hutan, pembalakan tanpa kawalan serta pembakaran terbuka yang akhirnya menyumbang kepada perubahan iklim, pencemaran, banjir dan tanah runtuh.
“Setiap antara kita perlu memikul amanah untuk mengurus dan memelihara bumi dengan penuh tanggungjawab. Segala tindakan terhadap alam sekitar akan dipersoalkan di sisi Allah SWT,” titah Paduka Baginda.
Paduka Baginda bertitah demikian ketika berkenan bercemar duli berangkat mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang Kali Ke-199 di sini, hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang.
Hadir sama ialah Timbalan Yang Dipertua MUIP, YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah; YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif MUP, Dato’ Haji Ahmad Hairi Bin Hussain.- KESULTANAN PAHANG







