KUANTAN 23 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan keyakinan bahawa Persatuan Pandu Puteri merupakan platform terbaik yang tidak sekadar mencorakkan gadis muda dengan kebolehan memimpin, tetapi juga menitikberatkan nilai murni, sekali gus melengkapkan diri untuk berhadapan cabaran masa depan.

Paduka Baginda yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Pahang bertitah, pengadaptasian sahsiah nilai murni amat penting dalam diri setiap individu dan kerana itu, ia tidak boleh dipandang mudah kerana nilai tersebut bakal melengkapkan kriteria sebagai seorang pemimpin.

“Di dalam persatuan Pandu Puteri, kita mengajar semuanya untuk bermoral tinggi. Kita bukan sahaja mengajar anda bagaimana hendak memimpin tetapi kita ajar juga adab-adab resam dan adab-adab (hormati pelbagai budaya). Kita mempunyai adab kita, yang kita semua perlu pelajari.

“Jadi, sebab itulah kita di sini hari ini, kami semua pernah lalui usia anda. Sekarang kami dah tua, tetapi kami membimbing anda.
“(Sebab) Satu hari nanti, anda akan sampai ke usia kami dan anda perlu memimpin. Jadi anda perlu menjadi pemimpin yang dicontohi dan juga sebagai seorang ibu juga,” titah Paduka Baginda.

Paduka Baginda bertitah demikian ketika berangkat mencemar duli sempena Sambutan Hari Peringatan Sedunia (WTD) Peringkat Kebangsaan 2025 di Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) di sini hari ini.

Turut mengiring ialah YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binto Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri dan Yang Dipertua PPPM, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Yeoh Soo Keng.

Seramai 1,500 ahli PPPM daripada 16 kontinjen seluruh negara menghadiri sambutan tersebut yang bertemakan Our Story.- KESULTANAN PAHANG