PEKAN, 9 Februari 2025 – Seramai 83 orang penggiat Tenun Pahang Diraja dan alumni Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja Tengku Ampuan Besar Meriam hadir pada majlis perjumpaan dengan penggiat tenun di Perkampungan Kraf Diraja Tunku Azizah Pahang, Pulau Keladi di sini hari ini.

YHM Che Puan Panglima Puteri Hajjah Suraiya Afzan binti Dato’ Indera Haji Mohammed Moizz hadir sebagai wakil rasmi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia, Datuk ‘Ainu Sham Haji Ramli dan Setiausaha kehormat Yayasan Tenun Pahang Diraja, Dato’ Zuraida Mokhtar.

Majlis berkenaan diisi dengan penerangan mengenai manfaat yang boleh diambil oleh usahawan dan alumni melalui peluang-peluang yang ada dalam industri kraftangan.

Ia turut membuka ruang kepada graduan-graduan untuk menyambung pelajaran dalam bidang kraf berkaitan selain menerangkan inisiatif yang disediakan seperti projek permulaan, projek usahawan muda dan projek perantis pengeluaran kraf. -KESULTANAN PAHANG
