PEKAN, 26 September 2026 – Aksi sengit dan mendebarkan mewarnai perlawanan akhir Kejohanan Royal Pahang Classic Centenary Cup 2026 apabila pasukan Royal Pahang dan Jogo Polo terikat seri 7-7, sekali gus menyaksikan kedua-dua pasukan berkongsi kejuaraan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Kelab Polo Diraja Pahang.
Perlawanan yang berlangsung penuh dramatik itu turut menyaksikan detik mencemaskan apabila Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang terjatuh ketika beraksi bersama pasukan baginda, Royal Pahang, dalam pertembungan menentang Jogo Polo.
Bagaimanapun, perlawanan akhir itu berlangsung dengan penuh semangat kesukanan sebelum kedua-dua pasukan akhirnya berkongsi piala kejohanan selepas terikat dengan jaringan seri 7-7.
Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang turut dinobatkan sebagai Most Valuable Player (MVP) Patron pada kejohanan berkenaan.
Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat menyempurnakan majlis pengurniaan hadiah kepada para pemenang dan peserta yang memeriahkan kejohanan berkenaan.
Keberangkatan Paduka Baginda diiringi Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang.
Kejohanan berprestij itu merupakan antara acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-100 Kelab Polo Diraja Pahang yang menghimpunkan pasukan-pasukan polo dalam persaingan merebut gelaran juara. – KESULTANAN PAHANG
————







