KUANTAN 31 Ogos 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj berkenan bercemar duli berangkat ke Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang di Padang MBK 1, hari ini.
Turut berangkat ialah Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketibaan Paduka Baginda pada pukul 10.30 pagi disambut Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail dan barisan kepimpinan negeri yang turut hadir bagi meraikan sambutan hari kemerdekaan negara yang ke-67 tahun ini.
KDPB Sultan Pahang kemudian berkenan memeriksa Kawalan Kehormatan Utama selain menyaksikan persembahan 111 kontinjen dengan pecahan 72 kontinjen berjalan kaki dan 39 kontinjen berkenderaan dengan jumlah peserta seramai 4,145 orang dan 563 buah kenderaan sepanjang lebih dua jam acara berlangsung.
Acara sambutan pada tahun ini turut digamatkan dengan kehadiran enam pesawat pejuang Sukhoi Su-30MKM daripada No 12 Skuadron, Pangkalan Udara Gong Kedak yang membuat ‘flypass’ di ruang udara Bandaraya Kuantan.
Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Negeri Pahang yang dihadiri kira-kira 65,000 orang pengunjung tahun ini lebih istimewa kerana tahun ini merupakan tahun pertama KDPB Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah dan KDPB Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah berangkat selaku Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang dan merupakan tetamu utama setelah selamat menyempurnakan pemerintahan sebagai Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 selama lima tahun di Istana Negara. -KESULTANAN PAHANG