KUANTAN, 19 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Yayasan Pahang, YH Dato’ Indera Mahmud Mohd Nawawi yang dinobatkan sebagai Pemimpin Cemerlang Asia menerusi Anugerah ACES 2024.
Pengiktirafan oleh The Asia Corporate Excellence & Sustainability (ACES) Council yang diadakan di Bangkok, kelmarin menyusuli kejayaan beliau yang turut menerima Anugerah Pemimpin Paling Inspirasi di Employee Experience Awards Malaysia 2024 (EXA) pada Jun lalu.
Sebagai info, Anugerah ACES 2024, dengan tema “Inovasi untuk Masa Depan Lestari,” memberi penghargaan kepada pemimpin yang memperlihatkan kepimpinan berwawasan dan pemikiran inovatif.
Paduka Baginda berdua berbangga dengan pencapaian YH Dato’ Indera Mahmud di persada antarabangsa seterusnya menjadi bukti kepimpinan luar biasa yang dimiliki beliau.
Paduka Baginda berdua turut berharap agar kejayaan yang dilakar YH Dato’ Indera Mahmud ini menjadi contoh kepada setiap pemimpin pelbagai peringkat di negeri ini untuk terus mencorak kepimpinan berwawasan.
Untuk rekod, Yayasan Pahang di bawah kepimpinan YH Dato’ Indera Mahmud telah menjalankan pelbagai program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) termasuk program pendidikan, biasiswa, dan projek kebajikan sosial yang telah memberi manfaat kepada lebih 1.9 juta penerima dengan implikasi kewangan RM1.6 bilion dari tahun 1983 hingga 2023. -KESULTANAN PAHANG