KUANTAN, 18 November 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj menzahirkan ucapan tahniah kepada penyanyi tersohor negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang menerima Anugerah Khas Biduanita Negara.
Dato’ Sri Siti Nurhaliza yang merupakan anak jati Pahang berasal dari Kuala Lipis itu menerima gelaran tersebut sempena Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
Paduka Baginda berdua berharap agar gelaran yang diterima dapat terus menyuntik semangat Dato’ Sri Siti Nurhaliza untuk melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.
Paduka Baginda berdua juga berharap pencapaian yang diperolehnya mampu menjadi dorongan untuk individu lain mencapai kejayaan maksimum dengan usaha yang bersungguh-sungguh.
ASN diperkenalkan pada 1993 untuk mengiktiraf pencapaian menakjubkan penggiat seni dalam pelbagai cabang seni seperti muzik, tari, lakon, kraf dan seni visual.
Kejayaan Dato’ Sri Siti Nurhaliza bergelar Biduanita Negara ini meletakkannya selaku penerima ketiga sebaris dengan Allahyarham Puan Sri Saloma (1978) dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini (2006) yang juga penerima anugerah berkenaan.
Keistimewaan beliau bukan sahaja terletak pada kehebatannya dalam seni nyanyian, tetapi juga dalam mencipta lagu, berlakon, menulis lirik, penerbitan, usahawan, dan aktif sebagai aktivis sosial.
Kepelbagaian bakat yang dimiliki jelas membuktikan beliau sememangnya layak menerima gelaran Biduanita Negara. -KESULTANAN PAHANG