KUANTAN 6 Februari 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj hari ini berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Surat Tawaran Penajaan Rawatan Persenyawaan Tabung Uji (IVF) kepada 65 pasangan di Hotel Grand Darul Makmur di sini hari ini.

Turut mengiring ialah YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan YHM Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan binto Dato’ Indera Haji Mohamed Moiz.

Paduka Baginda yang merupakan Pengasas dan Pengerusi Seumur Hidup Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) berkenan mengurniakan rawatan tersebut kepada 65 pasangan sebagai simbolik usia Paduka Baginda pada tahun ini.

Paduka Baginda ketika menyampaikan titah menzahirkan kesyukuran beikutan sejak TAFF ditubuhkan pada tahun 2005, seramai 143 bayi berjaya dilahirkan membabitkan 120 pasangan menerusi kaedah IVF.

“TAFF menerima lebih 500 permohonan sejak 2020 hingga 2024 dan 65 pasangan ini bertuah melepasi syarat yang ditetapkan.
“Saya harap semua rawatan ini berjaya dilaksanakan dan mendoakan Allah memakbulkan,” titah baginda yang pernah melakukan ujian IVF sebanyak 17 kali sebelum dikurniakan cahaya mata. – KESULTANAN PAHANG