Patik pacal-pacal dari Majlis Kesultanan Pahang Merafak Sembah Setinggi-Tinggi Ucapan Tahniah kepada Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj sempena Ulang Tahun Perkahwinan Diraja yang ke-39 pada 06 Mac 2025 bersamaan 05 Ramadan 1446H.
39 tahun menjadi saksi ikatan suci Paduka Baginda berdua yang menjadi contoh teladan terbaik dalam institusi kekeluargaan dan peranan yang sangat penting dalam pembangunan bukan sahaja negeri Pahang yang tercinta ini, malah seluruh negara.
Curahan kasih sayang, keprihatinan, kebijaksanaan, dan dedikasi yang ditunjukkan oleh Paduka Baginda berdua khususnya terhadap rakyat dan negeri ini amat dihargai sekali gus menjadi sumber inspirasi kepada semua.
Semoga ikatan kasih sayang yang erat antara Paduka Baginda berdua terus berkekalan, dipenuhi dengan kebahagiaan, kesejahteraan, dan diberkati oleh Allah SWT. Semoga tahun-tahun mendatang membawa lebih banyak keberkatan dan kejayaan buat keluarga diraja serta rakyat Pahang.
Patik pacal-pacal sekalian dengan hati yang paling tulus mendoakan semoga Paduka Baginda Tuanku berdua dikurniakan oleh Allah SWT kesihatan yang berpanjangan sihat walafiat, keberkatan dan kebahagiaan yang berkekalan serta terus kekal bersemayam di atas Takhta Singgahsana Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan.
Sembah Takzim daripada patik pacal-pacal Majlis Kesultanan Pahang