KUANTAN 22 Ogos 2024 – Puteri Sultan Pahang, YAM Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafidzatullah binti Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selamat diijabkabul dengan pasangan, FD Idzham FD Iskandar tepat pukul 9 malam tadi.
Pasangan pengantin kelihatan begitu menawan dengan persalinan berona putih dalam Istiadat Perkahwinan Diraja yang bermula pada pukul 8.30 malam di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz di sini.
Istiadat Akad Nikah ini amat bermakna dengan keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, Kebawah Duli Paduka Mulia Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta paduka-paduka anakanda.
Paduka Baginda berkenan memberi keizinan kepada Sahibus Samahah Mufti Pahang, Datuk Professor Dr. Asmadi Mohamed Naim untuk menjalankan upacara akad nikah yang turut dihadiri jemputan khas dan kerabat bergelar, ahli keluarga serta teman rapat.
Usai akad nikah, FD Izham keluar untuk menunaikan solat sunat sebelum istiadat diteruskan dengan keberangkatan masuk Tengku Puteri Afzan diikuti FD Izham ke dalam Balai Mahkota bagi upacara penyerahan mas kahwin berupa senaskah Al-Quran dan menyarung cincin oleh kedua-dua pengantin.
Istiadat berakhir dengan bacaan doa serta istiadat merenjis yang dimulakan oleh Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah.
Istiadat Perkahwinan Diraja akan diteruskan pada hari esok di mana akan diadakan Istiadat Berinai bagi pasangan Pengantin Diraja manakala Istiadat Persandingan diadakan pada Ahad ini.
Semua istiadat disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Tasik KotaSAS. – KESULTANAN PAHANG