KUALA LUMPUR 23 Nov. – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa syukur dan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberikan keluarga baginda sepanjang lima tahun bersemayam sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Ketika bertitah pada Istiadat Khas Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang diadakan di Istana Negara di sini hari ini, Seri Paduka Baginda turut menyuarakan rasa terharu di atas kasih sayang yang diberikan sejak menaiki tahta sebagai Sultan Pahang, sebelum dilantik menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

“Memang pada permulaannya agak mengejut dan begitu tidak diduga, tidak sangka untuk memegang jawatan secepat begini.
Alhamdulillah dengan anugerah keberkatan Allah SWT, semuanya berjalan dengan sebaik mungkin.
“Sokongan dan dorongan yang dipamerkan oleh semua adik-beradik dan anakanda saya begitu disanjungi dan mudah-mudahan kita semua diberkati Allah,” titah Seri Paduka Baginda.
Al-Sultan Abdullah turut berkongsi beberapa kenangan manis dan pahit sepanjang lima tahun Seri Paduka Baginda berada di Kuala Lumpur yang boleh dikenang sebagai perkara yang merapatkan ukhuwah dan silaturahim dalam kalangan kerabatnya.
“Sudah tentu banyak kenangan manis dan pahit. Antaranya ialah keluarga kita kehilangan ayahanda pada 2019 dan ini sedikit sebanyak membuat kita begitu sedih. Kenangan manis sepanjang lima tahun ini, saya dapat empat cucu dan beberapa cucu saudara.

“Dengan berkat kesatuan kekanda dan adinda, kita berjaya untuk sentiasa bersama di setiap program kekeluargaan dan majlis di istana,” titah Seri Paduka Baginda.
Dalam titah sama, Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kerana berjaya mentadbir Pahang dengan berjaya selama ini –
ISTANA PAHANG