KUALA LUMPUR , 22 Ogos 2025 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah berkenan berangkat bercemar duli ke tayangan khas filem Legasi Bomba The Movie di Aurum Theater, The Gardens Mall semalam.
Paduka Baginda berangkat tiba pada pukul 8.30 malam disambut Produser, Tan Sri Dato’ Sri Khalid Abu Bakar; Dato’ Steven Lim serta Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Dato’ Sri Ts. Nor Hisham bin Mohammad.
Paduka Baginda berkenan meluangkan masa lebih dua jam untuk menyaksikan tayangan filem berkenaan serta bertemu dengan kru serta barisan pelakon filem berkenaan yang turut hadir.
Paduka Baginda di dalam titah menzahirkan harapan agar filem ini dapat memberi gambaran terhadap jasa dan pengorbanan wira merah dalam menjaga dan membantu masyarakat tanpa mengira situasi dan masa.
Penghasilan filem ini juga diharap dapat menyuntik semangat anak muda untuk mengenali dan menyertai pasukan bomba yang sentiasa bersedia memikul amanah mulia. -KESULTANAN PAHANG







