SUBANG JAYA, 22 November 2026 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang berkenan bercemar duli berangkat ke 𝘏𝘪𝘣𝘪𝘴𝘤𝘶𝘴 𝘗𝘦𝘵𝘳𝘰𝘭𝘦𝘶𝘮 𝘐𝘯𝘥𝘶𝘴𝘵𝘳𝘺 𝘍𝘰𝘳𝘶𝘮: 15 𝘠𝘦𝘢𝘳𝘴 𝘢𝘯𝘥 𝘉𝘦𝘺𝘰𝘯𝘥 yang berlangsung di Sunway University,di sini hari ini.
Keberangkatan tiba Kebawah Duli Paduka Baginda disambut oleh Presiden dan Naib Canselor Sunway University, Profesor Sibrandes Poppema serta Pengerusi Hibiscus Petroleum Berhad, Zainur Rahim bin Mohd Zain.
Forum berkenaan dianjurkan bersempena sambutan ulang tahun ke-15 Hibiscus Petroleum Berhad, sekali gus menjadi platform untuk berkongsi perjalanan pertumbuhan syarikat berkenaan sepanjang 15 tahun penubuhannya serta membincangkan perkembangan dan masa depan industri tenaga.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Profesor Sibrandes Poppema, diikuti ucapan oleh Zainur Rahim bin Mohd Zain sebelum sesi taklimat bertajuk Hibiscus’ 15 Year Growth Journey yang disampaikan oleh Naib Presiden Kanan dan Kewangan Korporat Hibiscus Petroleum Berhad, Joyce Vasudevan serta Ketua Negara Malaysia dan Vietnam Hibiscus Petroleum Berhad, Dr. Pascal Hos.
Kebawah Duli Paduka Baginda turut berkenan menyempurnakan pelancaran buku sempena sambutan ulang tahun ke-15 Hibiscus Petroleum Berhad selepas menyaksikan tayangan video korporat khas sambutan berkenaan.
Forum diteruskan dengan persembahan nyanyian oleh Dato’ Zainal Abidin menerusi lagu Hijau, diikuti taklimat bertajuk The Energy Transition Conundrum oleh Pengarah Urusan Hibiscus Petroleum Berhad, Dato’ Dr. Kenneth Pereira dan Powering Malaysia’s Next of Growth oleh Pengarah Urusan Clean Energy Xpeditions Sdn. Bhd. (CENERGY), Dr. Azrudi Mustapha.
Paduka Baginda kemudian berkenan ke sesi bergambar bersama barisan panel dan peserta sebelum berangkat ke Jamuan Diraja.
Keberangkatan Kebawah Duli Paduka Baginda mencerminkan sokongan terhadap usaha memperkukuh pembangunan industri tenaga negara, selain mengiktiraf sumbangan sektor korporat dalam meneroka peluang pertumbuhan dan peralihan tenaga yang mampan. – KESULTANAN PAHANG





