KUANTAN, 27 Ogos 2025 – Istana Pahang mengesan kewujudan penyebaran video palsu yang dihasilkan menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI), memaparkan wajah menyerupai Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Beberapa klip video berkenaan dikesan giat disebarkan melalui akaun TikTok menggunakan nama “Datok Mohd Noor” kononnya berkaitan tawaran bantuan kepada rakyat.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan video berkenaan, tidak mempercayai sebarang pautan atau maklumat yang terkandung di dalamnya, serta segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya menerima kandungan mencurigakan.
Istana Pahang menegaskan bahawa video tersebut adalah tidak benar dan tidak sahih, malah merupakan penyalahgunaan imej Paduka Baginda bagi tujuan penipuan dan memperdaya orang ramai.
Dalam kenyataan itu, Istana turut menjelaskan bahawa Paduka Baginda tidak mempunyai sebarang akaun media sosial peribadi. Semua aktiviti rasmi atau titah Baginda hanya disiarkan melalui platform media sosial Kesultanan Pahang, termasuk satu akaun rasmi di Facebook dengan kira-kira 736,000 pengikut.
Bagi platform lain seperti Instagram, TikTok, YouTube dan aplikasi X, hanya nama Kesultanan Pahang digunakan secara rasmi. Manakala portal rasmi Istana Pahang ialah istanapahang.my. – KESULTANAN PAHANG





